Friday, 25 November 2016

KEPENTINGAN, POTENSI DAN CABARAN PERNIAGAAN BERASASKAN PERTANIAN DI MALAYSIA

1.      PENGENALAN
Pertanian merupakan aktiviti ekonomi yang paling penting kerana ia menggunakan satu pertiga daripada permukaan bumi. Pertanian tidak lagi boleh dipisahkan dari kehidupan manusia yang semakin ramai yang mempunyai pelbagai citarasa dan kehendak. Di peringkat pertama, masyarakat manusia hanya bergantung kepada aktiviti seperti memburu dan mengumpul makanan sahaja kerana tidak berkebolehan untuk menyediakan sumber makanan yang mencukupi.
Berbanding dengan masyarakat moden yang jumlahnya hampir mencapai angka 6 bilion orang, aktiviti pertanian yang cekap dan produktif menjadi aktiviti penting bagi menghasilkan sumber makanan dan gentian yang banyak.  Aktiviti ini memerlukan tenaga kerja dan penjagaan rapi.
Sektor pertanian sememangnya merupakan sektor utama bagi negara-negara yang kian pesat seperti Malaysia. Malah ia merupakan  ciri  terpenting yang membandingkan status antara negara-negara membangun dan negara-negara maju. Sektor ini jugalah yang telah menyalurkan kepada asas pembentukan dan kemajuan ekonomi Malaysia dalam era selepas merdeka yang mana pada masa tersebut majoriti penduduk tertumpu kepada aktiviti ekonomi berasaskan pertanian.







2. KEPENTINGAN BIDANG PERTANIAN
Sektor pertanian berfungsi sebagai perniagaan yang menguntungkan dan menjadi salah satu sumber keperluan dalam kehidupan petani atau sesiapa sahaja yang mengusahakan bidang tersebut.  Sektor ini dilihat berpontensi  tinggi  untuk dibawa ke peringkat lebih tinggi. Pertanian sememangnya boleh mendatangkan keuntungan yang  berlipat kali ganda jika diusahakan dengan bersungguh-sungguh.

2.1  Memberi Lebih Banyak Peluang Pekerjaan
Majoriti masyarakat desa masih kurang berkemampuan dan masalah ini dapat diatasi melalui pembangunan sektor pertanian dengan bantuan kerajaan dari segi pemodalan, kewangan, khidmat nasihat, teknologi, penyelidikan juga pembangunan. Hasil pertanian dapat digandakan melalui pembangunan sektor ini dan secara langsung menambahkan lagi peluang pekerjaan masyrakat desa dan meningkatkan pendapatan. Peluang pekerjaan mampu diwujudkan kepada masyarakat tempatan. Apabila bidang pertanian merupakan sektor utama negara, pasti banayak industri yang melibatkan pertanian memerlukan pekerja yang mahir.
2.2  Bekalan Bahan Mentah
Selain itu, sektor pertanian merupakan bekalan bahan mentah yang amat penting kepada sektor ekonomi sekunder dalam pemprosesan makanan. Hasil pertanian merupakan input yang digunakan dalam proses pengeluaran bahan makanan yang boleh dijadikan sebagai produk eksport. Eksport makanan menggunakan hasil pertanian adalah seperti mentega, serbuk koko, serbuk lada hitam, berus dan sebagainya. Kos pengeluaran dapat diminimumkan untuk pengeluaran optimum kerana harga bahan mentah yang dibekalkam oleh sektor pertanian adalah murah berbanding dengan pasaran antarabangsa. Selain itu, hasil pertanian dapat disumbangkan oleh sektor utama adalah untuk kegunaan domestik rakyat sesebuah negara. Sebagai contoh, beras merupakan makanan asas penduduk Asia. Kita dapat menikmati harga makanan yang rendah, hasil sumbangan sektor ekonomi utama negara kita. Contoh yang lain kegunaan domestik hasil pertanian ialah minyak masak kelapa sawit berkualiti tinggi diperoleh dengan murah kerana didapati dalam pasaran tempatan.
2.3 Bahan Eksport Utama
Indeks imbangan perdagangan iaitu indeks harga hasil eksport dan belanja import dapat diseimbangkan untuk mengukuhkan lagi kedudukan kewangan negara kita melalui pembangunan sektor pertanian. Hal ini disebabkan hasil sektor pertanian dijadikan sebagai bahan eksport utama negara yang mendatangkan hasil yang lumayan seperti getah dan minyak kelapa sawit. Negara kita dengan bangganya pengeluar kedua terbesar di dunia bagi kedua-dua bahan tersebut kerana kecekapan kerajaan Malaysia dalam memajukan sektor ini. Kepentingan dari segi ini juga dapat dilihat melalui sumbangan sektor pertanian untuk menggantikan import negara.
Dasar penggantian import diperkenalkan pada awal rancangan pembangunan Malaysia untuk mengurangkan import dari negara asing bagi bahan mentah sektor pertanian melalui pembangunan sektor ini. Sebagai contoh, buah-buahan merupakan bahan import utama negara kita. Untuk menggantikan import bahan-bahan ini, kerajaan telah mengambil langkah mempelbagaikan lagi tanaman buah-buahan melalui pembangunan yang dilakukan dalam sektor utama. Justeru, kedudukan kewangan negara dan struktur ekonomi yang kukuh dapat diwujudkan melalui kepelbagaian sektor ekonomi negara yang seimbang.
Kepentingan teknologi terutama dengan menjaga kepentingan alam sekitar melalui pembangunan sektor pertanian yang mesra alam dapat dilaksanakan. Tekanan ekonomi dan pasaran untuk bersaing dengan negara lain melalui peningkatan hasil negara atau tujuan pembangunan dan kemajuan dapat dicapai tanpa mengabaikan amanat Tuhan kepada manusia untuk memelihara dan memulihara alam sekitar.
(gambar 1 menunjukkan jentera memproses hasil tanaman)

2.4 Menjaga Kepentingan Keseimbangan Ekologi
Pembangunan sektor pertanian dapat menjamin hasil yang lumayan dan punca pendapatan yang stabil tanpa mengakibatkan pencemaran alam yang teruk seperti pengaruh luar yang negatif daripada pembangunan perindustrian yang pesat. Sektor perindustrian yang dibangunkan menjejaskan keseimbangan ekologi melalui pencemaran perkilangan seperti pembebasan asap beracun, pembuangan sisa-sisa toksik ke sungai, kumbahan sisa kilang yang tidak bersistematik dan banyak lagi. Pembangunan sektor pertanian dapat menjaga kepentingan keseimbangan ekologi. Sektor pertanian melibatkan aktiviti-aktiviti seperti penanaman, penyuburan tanah, pembaikan struktur tanah dan sebagainya dapat menjamin hasil ekonomi yang lumayan di samping mengekalkan keseimbangan alam sekitar.
(Gambar 2 menunjukkan petani malakukan proses penanaman padi)

2.5 Mengurangkan Import Negara
Kebaikan seterusnya sektor pertanian ialah dapat mengurangkan import negara dalam barangan pertanian. Kebanyakan bahan yang diimport oleh negara kita adalah barangan makanan seperti beras dan sayur-sayuran. Jika barangan makanan ini ditanam dalam kuantiti yang banyak, pasti negara kita dapat mengurangkan eksport sekaligus dapat mengelakkan pengaliran wang ke luar negara. Malah, hasil pertanian yang banyak dihasilkan oleh negara kita boleh juga dieksport ke luar negara. Jika negara dapat mengeksport hasil pertanian ke luar negara, sudah pasti ekonomi negara akan bertambah kukuh.
Sektor pertanian juga dapat membekalkan bahan asas untuk menghasilkan bahan kedua di kilang-kilang. Realitinya, bahan yang dibeli dalam negara lebih murah jika dibandingkan dengan bahan yang dibeli dari luar negara. Oleh itu, secara tidak langsung sektor perkilangan dalam negara juga akan mendapat manfaatnya. Keuntungan syarikat dalam negara secara tidak langsung akan menambahkan pendapatan negara melalui pencukaian. Dengan pertambahan pendapatan negara, maka lebih banyak projek pembangunan dapat dilaksanakan oleh pihak kerajaan untuk rakyat.
(Gambar 3 menunjukkan petani mengumpul hasil tanaman)
3. POTENSI BIDANG PERTANIAN SEBAGAI PERNIAGAAN YANG  MENGUNTUNGKAN
Aktiviti pertanian merupakan aktiviti ekonomi negara sejak sekian lama, iaitu sejak era sebelum merdeka lagi dan masih relevan hingga kini. Walau bagaimanapun, kebanyakan isi rumah luar bandar yang melakukan aktiviti pertanian sering dikaitkan dengan kemiskinan. Sivar dan Hassan (1994) menyatakan bahawa petani di luar bandar merupakan golongan termiskin yang mempunyai peratusan yang tinggi berbanding golongan bukan petani di bandar. Menurut beliau lagi perbandingan indeks kemiskinan di bandar dan di luar bandar juga menunjukkan bahawa peratusan indeks kemiskinan bagi penduduk luar bandar lebih tinggi berbanding peratusan indeks kemiskinan bagi penduduk di bandar (rujuk Jadual 1).



Jadual 1 : Peratusan indeks kemiskinan bagi penduduk luar bandar dan bandar
Tahun
Bandar(%)
Luar bandar (%)
1970
21.3
58.7
1976
15.4
45.7
1979
17.5
45.8
1984
8.5
27.3
1987
8.5
24.8
1989
7.1
21.1
1992
4.7
21.2
1995
3.6
14.9
1997
2.1
10.9
1999
3.3
14.8
2002
2.3
13.5
2004
2.5
11.9
2007
2.0
7.1
2009
1.7
8.4
2010
1.7
8.4
2011
1.7
8.4
2012
1.0
3.4
2013
1.0
3.4
2014
0.5
2.7
(Sumber: Unit Perancang Ekonomi, 2012)

Pertanian sememangnya menjadi tulang belakang kepada kebanyakan penduduk di luar bandar, namun terdapat juga petani di luar bandar yang mempelbagaikan aktiviti ekonominya yang tidak terhad kepada aktiviti pertanian sahaja (World Development Report, 2008: 204). Aktiviti bukan pertanian di luar bandar tumbuh lebih daripada 10% setahun antara tahun 1980 dan awal 2000 di beberapa negeri Amerika Latin. Di Chile, kadar penglibatan tenaga kerja di luar bandar dalam aktiviti bukan pertanian meningkat daripada 25% pada tahun 1960 kepada 49% pada tahun 2002. Menurut Lanjouw (2000) beliau  telah membuktikan peranan yang dimainkan oleh sektor bukan pertanian kepada pengurangan kemiskinan di luar bandar melalui kajian ke atas isi rumah di Ecuador. Hasil kajian beliau menunjukkan sektor bukan pertanian telah menyumbang 40% kepada pendapatan di luar bandar. Hampir 40% kaum lelaki dan 50% kaum wanita terlibat dalam aktiviti ini. Menurut De Janvry (1981), upah daripada membuat kerja sambilan di luar bandar selalunya menjadi pelengkap kepada ketidakcukupan pengeluaran pertanian dalam memastikan keperluan penggunaan isi rumah terus dinikmati.
Pertanian merupakan tunggak utama dan asas kepada kehidupan manusia baik dari segi sumber makanan, kewangan mahupun ekonomi. Apabila adanya tanah untuk diusahakan, kerajinan dan usaha si petani mahupun penternak, itu saja sudah cukup untuk memastikan bidang pertanian ini terus berkembang pesat. Situasi yang membolehkan sesuatu aktiviti pertanian itu bertukar menjadi satu perniagaan boleh terjadi apabila pengeluaran hasil pertanian pekebun atau penternak tadi bukan sahaja telah melebihi keperluan sara hidup diri, malahan telah dapat memberi keuntungan kepada pengusahanya. Jadi, mereka boleh menjual hasil tanaman dan ternakan mereka kepada orang ramai. Jika para peladang dan penternak ini bijak menguruskan wang, mereka boleh menjana wang dengan lebih banyak lagi dan sekali gus menaikkan lagi ekonomi Malaysia.
“Pertanian adalah perniagaan” merupakan satu slogan atau kata-kata yang sangat popular. Slogan ini bermatlamatkan untuk mentransformasikan Malaysia daripada sebuah negara perindustrian ke sebuah negara pertanian. Dengan melakukan aktiviti-aktiviti sektor pertanian, seseorang itu mampu memperolehi pendapatan yang lebih besar dan bukan sekadar untuk keperluan diri sahaja tetapi juga kepada masyarakat sekelilingnya. Persepsi rakyat terhadap sektor pertanian juga perlu ditukar. Rakyat perlu lebih berani mengambil risiko dan mula berbakti kepada sektor ini. Pertanian perlu diceburi oleh segenap lapisan umur terutamanya belia dan bukan hanya petani-petani yang sudah lanjut usianya. Ini juga dapat menghindar para remaja di Malaysia daripada melakukan aktiviti-aktiviti yang tidak mendatangkan kebaikan. Pada masa ini, anak-anak muda masa kini punya idea yang kreatif  dan inovatif. Mereka boleh menjadikan sesuatu produk lebih menarik untuk dijual kepada orang lain dan ini juga satu kelebihan yang harus diguna.

Tumpuan kerajaan kepada sektor pertanian bukanlah bersifat satu langkah ke belakang. Usaha ini dilihat sebagai salah satu usaha kerajaan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat Malaysia dan seterusnya membantu menambah hasil pendapatan negara. Dalam memajukan bidang pertanian, kerajaan telah melakukan banyak perubahan daripada aspek proses dan keperluan jentera. Dengan bantuan agensi kerajaan seperti Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia atau MARDI, kita telah berjaya menghasilkan pelbagai variasi, klon dan baka tanaman baru dengan bantuan teknologi ICT yang terkini. Dengan itu, para pengusaha ladang dapat menggunakan teknologi-teknologi baru ini untuk menambah baik sistem di ladang mereka sekali gus meningkatkan kuantiti dan kualiti penengeluaran.

Selain itu, hasil tanaman mahupun ternakan yang pada asalnya adalah untuk kegunaan sendiri kini boleh dijual kepada orang ramai. Jika para pengusaha lebih kreatif dalam menginovasi hasil tanaman mahupun ternakan, mereka boleh menghasilkan produk yang baru darinya. Sebagai contoh, peladang yang menanam durian tidak terhad hanya menjual durian mengikut buahnya sahaja. Mereka boleh mempelbagaikan lagi hasil durian mereka seperti membuka gerai yang menjual buah durian, cendol durian, pulut durian dan semua makanan yang berasakan durian. Ini bukan saja sesuatu baru tapi mampu menarik ramai pelanggan sekali gus para pelancong dari negara lain yang mahu merasa keunikan buah durian. Terbuktilah bahawa pertanian berpotensi menjadi satu perniagaan yang memberi hasil yang cukup lumayan.
Kejayaan sesuatu bidang itu bergantung kepada usaha yang dicurahkan oleh seseorang individu. Dalam bidang pertanian, sudah tentulah hasil usaha yang sepenuhnya dan tidak berbelah bahagi daripada peladang dan penternak mampu mendatangkan hasil yang menguntungkan. Lebih-lebih lagi dengan bantuan yang diberikan oleh kerajaan daripada segi kewangan mahupun peralatan moden. Oleh itu, semua pihak haruslah bersatu padu untuk memastikan slogan “Pertanian adalah Perniagaan” ini menjadi kenyataan. Bak kata pepatah berat sama dipikul, ringan sama dijinjing, begitulah tanggungjawab yang perlu digalas oleh semua pihak yang terlibat.

4. CABARAN BIDANG PERNIAGAAN BERASASKAN PERTANIAN
Sektor pertanian sememangnya merupakan sektor yang terpenting bagi negara-negara membangun seperti Malaysia. Malah ia merupakan antara ciri terpenting yang membezakan status antara negara-negara membangun dan negara-negara maju. Sektor ini jugalah yang telah menyumbang kepada asas pembentukan ekonomi Malaysia di dalam era selepas merdeka yang mana pada masa tersebut, majoriti penduduk tertumpu kepada aktiviti ekonomi berasaskan pertanian dan perlombongan.

4.1 Perubahan Iklim
Perubahan iklim dunia secara mendadak berupaya menjejaskan jaminan bekalan makanan dunia dan merupakan rintangan utama dalam bidang pertanian. Kenyataan ini boleh dibuktikan melalui laporan Perkembangan Ekonomi Malaysia pada suku pertama tahun 2016 yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia iaitu “pertumbuhan dalam sektor pertanian menguncup 3.8% (S4 2015 : 1.5%), terutama mencerminkan pengeluaran minyak sawit yang lebih rendah, berikutan fenomena cuaca El Nino yang menjejaskan hasil tanaman.”
Faktor bencana alam seperti banjir, kemarau dan tanah runtuh mempengaruhi jumlah pengeluaran semasa dan lebih teruk lagi pengusaha terpaksa menanggung kerugian yang besar akibat kemusnahan tanaman. Turut memetik kenyataan Pengarah Pertanian Terengganu, Encik Yusof Maidin kepada akhbar Sinar Harian online pada 3 Februari 2013, bencana banjir di Terengganu memusnahkan tanaman seluas 688 hektar dengan kerugian lebih RM1.7 juta, membabitkan lebih 12,000 petani. Tanaman paling banyak terjejas adalah padi meliputi kawasan seluas 275.5 hektar, diikuti tanaman kontan (149.82 hektar), sayur-sayuran (115.38 hektar) dan pokok buah-buahan (103 hektar). Selain tanaman, banjir itu turut memusnahkan peralatan dan mesin pemprosesan mengakibatkan kerugian RM42,000.00 kepada 10 pengusaha.

4.2 Kekurangan Tanah
Masalah kekurangan tanah yang sesuai untuk tujuan pertanian komersil berskala besar. Melalui kajian tapak yang dijalankan oleh Rafiqah Mat dan Aziz Abdul Majid (2015) mendapati “pengusaha pertanian menghadapi halangan atau masalah yang berkaitan dengan tanah seperti keluasan tanah yang tidak ekonomik, kekurangan tanah kosong, tanah yang kurang sesuai untuk pertanian dan masalah sewa tanah”. (hlmn. 51).
Saiz tanah yang terhad hanya menghasilkan jumlah pengeluaran berskala kecil sahaja dan menampung keperluan di pasar-pasar dan kedai-kedai sekitar nya. Hal ini tidak membantu meningkatkan julat keuntungan kepada pengusaha, sebaliknya pendapatan yang statik ditambah pula beban kos utiliti yang saban hari semakin tinggi, hanya mengundang kepada masalah baru iaitu peningkatan harga makanan dan harga.

4.3 Kekurangan Tenaga Buruh
Beberapa kelemahan strukur yang masih terdapat di dalam sektor pertanian memerlukan penyelesaian segera. Masalah kekurangan buruh dan purata umur mereka yang terlalu tinggi telah mengakibatkan kos purata pengeluaran meningkat, yang seterusnya mengancam kedudukan faedah berbanding negara ini didalam pengeluaran dan eksport komoditi utama di dunia. Langkah  sementara yang sedang diamalkan sekarang dengan mengambil buruh-buruh imigran masih jauh daripada satu penyelesaian yang muktamad. Malah, sifat buruh-buruh ini yang sering berpindah randah kerana meneari persekitaran yang lebih selesa bukan sahaja mengakibatkan timbulnya masalah pengurusan estet, bahkan dalam jangka panjang, boleh mengancam kedudukan ekonomi estet-estet pertanian.
Hal ini kerana imej pekerjaan di sektor perindustrian dilihat lebih tinggi dan memiliki kemudahan sosial yang lebih baik. Peluang membaiki taraf ekonomi melalui pendapatan di sektor perkilangan dan perkhidmatan lebih terjamin. Sebaliknya, pendapatan di sektor pertanian tidak stabil.
Penghijrahan tenaga buruh dari sektor pertanian ke sektor bukan pertanian ini mengakibatkan kekurangan tenaga buruh di sektor pertanian. Malah, bilangan ladang di Semenanjung Malaysia yang mengalami masalah tenaga buruh turut meningkat tahun demi tahun.

4.4  Kekurangan Modal
Kekurangan modal pula merupakan benteng untuk mereka menyerap teknologi moden, terutamanya menanam semula tanaman getah yang telah tua dengan baka benih atau klon yang tinggi daya pengeluarannya dan lumayan hasilnya. Sebabnya untuk menanam semula, petani terpaksa menunggu sekurang-kurangnya empat tahun untuk mendapatkan hasil. Dalam tempoh tersebut, mereka tidak mempunyai sebarang sumber pendapatan semasa lagi. Dengan itu, walaupun teknologi moden berpotensi memberikan manfaat yang besar, mereka tidak berkemampuan untuk menerimanya.Selain daripada itu, negara juga menghadapi masalah kekurangan benih di sektor-sektor kecil tertentu.

5. SOKONGAN DAN BANTUAN KERAJAAN KEPADA PERNIAGAAN BERASASKAN          PERTANIAN
Usaha kerajaan untuk membangunkan memberi bantuan telah bermula sejak zaman penjajahan lagi.Usaha ini diteruskan selepas kemerdekaan.Kepentingan pertanian sering diakui dan diberi sokongan oleh kerajaan.Penekanan terhadap sektor ini berbeza dari semasa ke semasa bergantung kepada keperluan dan desakan semasa. 
5.1  Transformasi Ladang
Keluasan tanah yang tidak ekonomik menyebabkan produktiviti dan kos pengeluaran yang besar. Program untuk memperolehi faedah berskala seperti projek kelompok, pemuliharaan tanah terbiar secara berkelompok, Taman Kekal Pengeluaran Makanan dan Projek 10 Tan Padi telah pun dilaksanakan. Dalam skim-skim ini, Amalan Pertanian Baik (Good Agriculture Practices) digalakkan supaya keluaran pertanian yang dihasilkan adalah berkualiti tinggi dan selamat diguanakan. Program Plantation Integration Areas (TAC) juga dilaksanakan bagi mengoptimumkan penggunaan kawasan perladangan bagi menjanakan hasil sampingan dengan ternakan lembu.

 5.2  Transformasi Tenaga Buruh Kepada Penggunaan Mekanisasi, Otomasi dan    Teknologi
Negara perlu meningkatkan tahap dan proses pengeluaran daripada yang bergantung berat kepada tenaga buruh kepada berintensifkan modal, teknologi dan berasaskan ilmu pengetahuan. Program pemindahan teknologi dan cara tanaman yang baru bagi meningkat produktiviti telah dilaksanakan. Ini termasuk program inkubator dan belia tani bagi melahirkan usahawan tani, program fertigasi tanaman pertanian, dan sistem ternakan ayam secara tertutup (closed house system). Di dalam pembangunan perikanan pula, usaha bagi meningkatkan tahap teknologi dilaksanakan melalui program pen culture, akuakultur secara nukleus, open sea cage culture dan mengurangkan kehilangan hasil akibat ´post harvest´.

5.3  Pengurusan Ladang Yang Moden
Program latihan dan kemudahan akan dipertingkatkan bagi memastikan peladang dibekalkan dengan kemahiran teknikal dan teknologi bagi meningkatkan produktiviti manakala pakar-pakar dan pekerja yang terlibat dalam aktiviti bimbingan dan latihan dilengkapkan dengan pengetahuan dan kepakaran bagi membantu masyarakat tani. Untuk mencapai tujuan ini, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sedang berusaha meningkatkan khidmat pengembangan dan khidmat nasihat teknikal.
Inkubator-inkubator bagi memberi latihan tambahan juga telah dibina untuk memberi latihan kepada golongan sasar di ladang sebenar.
5.4  Daya saing Lebih Tinggi
Kualiti produk yang rendah dan tidak seragam menyebabkan hasil pertanian negara tidak dapat bersaing di pasaran global. Dengan harga yang tinggi di pasaran domestik dan jangkaan lambakan hasil pertanian dari luar negara yang lebih murah berikutan pembukaan pasaran di bawah pelaksanaan WTO dan AFTA, hasil pertanian negara akan menghadapi persaingan yang tinggi. Sehubungan itu, hasil pertanian negara perlu berkualiti dan mematuhi piawaian keselamatan makanan antarabangsa bagi membolehkan hasil pertanian dieksport mahupun dipasarkan di dalam negara. Konsep jaminan kualiti daripada ladang ke meja hidang akan diamalkan secara meluas melalui skim akreditasi serta kawalselia dan pemeriksaan veterinar yang ketat di ladang ternakan, kilang makanan haiwan, rumah penyembelihan, kilang pemprosesan, stesen kuarantin dan setiap pintu masuk ke dalam negara.

5.5  Mempelbagaikan Pulangan Pelaburan
Masalah pulangan terhadap pelaburan yang rendah dan lambat dapat diatasi dengan memberi tumpuan kepada aktiviti integrasi tanaman-ternakan, intercropping, mixed farming dan juga marinovasi. Aktiviti pemprosean hiliran juga merupakan satu usaha untuk mempelbagaikan aktiviti ekonomi masyarakat tani dan menambahkan pendapatan mereka dalam mengeluarkan produk yang diproses yang mempunyai nilai tambah yang tinggi.

5.6  Pengezonan (zoning)
Selaras dengan pendekatan pembangunan pertanian berasaskan produk, pembangunan secara sektoral melalui pengezonan kawasan pengeluaran pertanian akan dilaksanakan. Ini bertujuan bagi membolehkan pembangunan pertanian secara kelompok dapat dihasilkan supaya faedah perbandingan (comparative advantage) diperolehi. Zon-zon pengeluaran ini termasuklah zon perindustrian akuakultur (ZIA), zon-zon tanaman, zon-zon pengeluaran ternakan dan kawasan integrasi ladang (TAC). Perlaksanaan zon-zon ini akan membolehkan para pengusaha meningkatkan hasil mereka kerana keadaan agro-klimatik yang sesuai untuk aktiviti tertentu. Selain daripada itu, ia juga membolehkan kerajaan menumpukan khidmat sokongan mengikut jenis aktiviti pertanian yang dilaksanakan di kawasan tertentu.

5.7  Latihan
Pusat Latihan Pertanian Negara dipertanggungjawabkan bagi merancang, menyelaras dan menilai program latihan kemahiran selaras dengan Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS) bagi melahirkan pekerja dan usahawan tani yang berpengetahuan dan berkemahiran. Selain daripada itu, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani juga sedang membina Kolej Pertanian di Kedah di samping meningkatkan taraf 40 institusi sedia ada supaya dapat memberikan latihan yang lebih baik kepada golongan sasar.

5.8   Infrastruktur
Sebagai usaha untuk meberi sokongan dan kepada sektor pertanian, kerajaan juga sedang berusaha meningkatkan kemudahan infrastruktur serta khidmat sokongan di sektor ini. Dalam hal ini, kemudahan-kemudahan seperti saliran dan pengairan serta jalan ladang akan diperbaiki dan dipertingkatkan dari masa ke semasa. Selain daripada itu, kemudahan pemasaran seperti pusat pengumpulan dan pengedaran produk pertanian juga disediakan. Tujuannya ialah untuk meningkatkan keberkesanan rangkaian pemasaran produk pertanian dari ladang ke pasaran.









6.   KESIMPULAN
Kepentingan pembangunan sektor pertanian tidak harus dikesampingkan dan fokus kepada pembangunan perindustrian untuk mewujudkan sebuah negara yang stabil dari segi kewangan, ekonomi dan politik. Pembangunan yang seimbang inilah yang merupakan langkah yang besar oleh negara kita dalam menuju ke Wawasan 2020.
Di negara seperti Amerika syarikat, Australia dan beberapa negara maju lain, golongan petani dipandang tinggi kerana mereka tergolong dalam golongan yang kaya raya. Situasi ini mungkin boleh berlaku di negara kita. Negara kita Malaysia mempunyai tanah yang subur, bebas daripada bencana alam atau hura-hara yang boleh memusnahkan sebarang kegiatan ekonomi. Jika kelebihan ini tidak dimanfaatkan, bermakna kita telah mensia-siakan anugerah sumber perniagaan yang ada.
Melalui strategi-strategi  yang telah disusun oleh kerajaan demi untuk membantu masyarakat tani di Malaysia, 'Pertanian adalah perniagaan' sudah pasti akan dapat dilaksanakansekiranya kita sama-sama mencari jalan untuk memperhebatkan bidang pertanian dengan cara menjadikannya sebagai salah satu sumber pendapatan kita.








RUJUKAN
Amriah Buang & Ratnawati Yuni Suryandari (2009).  Pertanian Kontrak Sebagai Satu   Kaedah             Memajukan Petani Kecil Melayu: Tanggapan Dan Penilaian             Komuniti Tani Tempatan    Di Zon Utara, Semenanjung Malaysia Terhadap            Prestasi Program Pertanian Kontrak        . Geografia Onlinetm Malaysian      Journal Of Society And Space 5 Issue ,11 - 22.

Arifin & Ismail(2015).  Peranan Pertubuhan Peladang Kawasan Membasmi           Kemiskinan Petani:             Kajian Kes Di Selama, Kedah Darul Aman. International        Journal  of Environment, Society and Space, 3(2), 40-56.

Nur Badriyah Kamarul Zaman, Jamal Ali, Zakirah Othman & Kamal Abdul Hamid            (2013)Pertanian Mapan: Cabaran dan Strategi Pembangunan dalam    Sektor Pertanian di Negeri Perlis,GEOGRAFIA OnlineTM      Malaysia        Journal of Society and Space 9 issue 1 (24 - 33) .
 Rafiqah Mat  & Aziz Abdul Majid (2015). Kepentingan Pertanian Bandar Dan       Cabaran Yang Dihadapi  Oleh Petani Bandar Di Malaysia. International                          Journal of Environment, Society and Space.  2015, 3(1), 44-56.

R.D. Hill(2013). Agriculture in the Malaysian Region. National University of            Singapore. Singapore.

.


2 comments: